Mengutamakan hak agama Islam:
Apabila berlaku pertembungan antara dua maslahah, iaitu maslahah Islam, jihad
dan dakwah dengan maslahah kehidupan, isteri, anak dan harta… maka
setiap individu muslim wajib mendahulukan maslahah jihad dan dakwah di
atas segala maslahah dunia, kepentingan peribadi, dan perasaan terhadap negara
dan keluarga.
Ini kerana, membentuk masyarakat Islam, mengukuhkan asas negara Islam dan
memberi petunjuk kepada insan yang dalam kesesatan… adalah tujuan utama. Bahkan
ia merupakan matlamat dan tujuan yang paling murni. Inilah apa yang
nyata dari pendirian Rib‘iy Ibn ‘Amir. Beliau berdiri di
hadapan Rustum ketika peperangan al-Qadisiyyah lalu berkata:
“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan
manusia terhadap manusia kepada penyembahan terhadap Allah,
dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman pelbagai agama
kepada keadilan Islam.”
Terdapat beberapa contoh para salafussoleh mendahulukan maslahah Islam dan
jihad di atas segala maslahah peribadi, keluarga dan keturunan. Lebih-lebih
lagi, perasaan yang cenderung terhadap keluarga dan isteri-isteri:
Seorang sahabat yang hatinya penuh keimanan; Hanzalah Ibn Abi ‘Amir yang
berkahwin dengan Jamilah Binti Ubaiy pada suatu malam Jumaat.
Pada keesokan paginya kaum muslimin di seru supaya keluar ke medan jihad.
Sebaik sahaja Hanzalah mendengarnya, beliau terus mengambil pedang, memakai
baju perang kemudian menunggang kudanya. Beliau menuju ke medan perang Uhud.
Apabila peperangan bermula, beliau bertempur sebagai seorang pahlawan.
Setelah barisan kaum muslimin tidak teratur lagi, Hanzalah bertempur di
tengah-tengah barisan kaum musyrikin sehinggalah beliau menemui Abu Sufyan.
Beliau menyerangnya. Abu Sufyan pun tersungkur. Hanzalah ingin menyembelihnya
dengan pedang. Tetapi Abu Sufyan menjerit mememinta pertolongan daripada kaum
Quraisy. Suaranya didengari oleh beberapa orang. Mereka menyerang dan memukul
Hanzalah sehingga ia terkorban sebagai seorang syahid.
Inilah dia Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, Allah Subhanahu wa ta‘ala telah
mendedahkan kepadanya alam ghaib, lalu Baginda bersabda: “Saya melihat
malaikat memandikan Hanzalah di antara langit dan bumi dengan air embun di atas
bekas yang diperbuat daripada perak.” Para sahabat pun bersegera pergi
melihat Hanzalah.
Mereka mendapati titisan air pada kepala Hazalah.… Lalu mereka bertanya kepada
isterinya mengenai Hanzalah. Isterinya memberitahu bahawa sebaik sahaja beliau
mendengar seruan jihad, ia terus keluar dalam keadaan berjunub dan belum sempat
mandi wajib, dengan sebab itulah malaikat memandikannya.
‘Abdullah Ibn Abi Bakar Radiallahu‘anhuma berkahwin dengan ‘Atikah
Binti Zaid. ‘Atikah adalah seorang yang jelita, berakhlak mulia dan
sangat beradab. Oleh itu, ia terlewat untuk keluar berperang dan berjihad. Ayahnya
Abu Bakar al-Siddiq menyuruhnya agar ia menjatuhan talak ke atas
isterinya. Beliau menyatakan sebabnya: “Isteri engkau telah menyebabkan engkau
sibuk dengannya dari keluar berperang, maka jatuhkan talak ke atasnya.” Lalu,
‘Abdullah menjatuhkan talak ke atas isterinya. Pada suatu ketika, ayahnya,
terdengar beliau mengungkapkan syair:
Maksudnya:
“Aku belum pernah melihat orang seperti aku yang mentalak wanita yang
sepertinya.”
“Ia ditalak bukanlah kerana dosa yang ia lakukan.”
“Ia berbudi pekerti mulia, berfikiran tinggi dan berkedudukan.”
“Sedangkan aku sudah tua, dan hatiku amat menyintainya.”
Seorang ayah mahukan anaknya menceraikan isterinya. Tetapi setelah mendengar
ungkapan syair ini, ayahnya menyuruh agar ia merujuk semula isterinya. Selepas
beberapa ketika, ‘Abdullah keluar berperang bersama Nabi Sallallahu ‘alaihi
wasallam di Taif. Malangnya ia terkena panah dan meninggal dunia setelah pulang
ke Madinah. Semoga Allah meredhainya.
Al-Tabarani dan Ibn Ishaq meriwayatkan bahawa Abu Khaithamah pulang
ke rumahnya setelah bermusafir. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pula
telah keluar menuju ke medan peperangan selama beberapa hari. Pada hari itu,
cuaca sangat panas. Ia mendapati kedua-dua isterinya sedang berkhemah di
kebunnya. Terdapat dua buah khemah. Mereka telah merenjiskan air di sekitarnya.
Mereka juga telah menyediakan air yang dingin dan makanan untuk menyambut
kepulangan suami mereka. Apabila Abu Khaithamah tiba di sana, beliau berdiri di
pintu khemah dan melihat apa yang dilakukan oleh kedua-dua orang isterinya,
lalu berkata:
“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di bawah matahari yang terik
dan angin yang panas. Sedangkan Abu Khaithamah di bawah teduhan yang dingin dan
di hadapan hidangan makanan yang telah tersedia serta di sampingnya isteri yang
jelita!! Ini bukanlah suatu yang adil.”“Demi Allah aku tidak akan
masuk ke khemah kamu berdua sehinggalah aku menemui Rasulullah Sallallahu
‘alaihi wasallam terlebih dahulu.” Tanpa berlengah lagi, isteri-isterinya
menyediakan bekalan. Abu Khuthaimah bersegera menunggang unta berangkat
mengejar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah ia menemui Baginda
di medan Tabuk.
Tidak syak lagi, sesungguhnya umat Islam dan belia Islam ketika mana mereka
mendahulukan cinta kepada Allah, Rasul, jihad di jalan Allah dan berdakwah
melebihi segala yang lain di dalam kehidupan ini sama ada mahal atau
pun murah; nescaya Allah Subhanahu wa ta‘ala akan memberikan kekuasaan kepada
mereka di muka bumi ini. Menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan,
kelemahan mereka dengan kekuatan. Dunia akan berada di bawah pemerintahan
mereka. Manusia seluruhnya akan tunduk kepada arahan dan larangan mereka… Jika
mereka menyelewang, maka tunggulah ketentuan daripada Allah Subhanahu wa
ta‘ala. Allah akan menurunkan bala dan azab. Allah Subhanahu wa ta‘ala
tidak memberi hidayat kepada kaum yang keluar dari batas ketaatan kepadanya,
dan terpesong dari petunjuk dan jalan Allah.
Benarlah firman Allah Subhanahu wa ta‘ala di dalam al-Quran:
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum
keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu
bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan
RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah
mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
(Al-Taubah: 24)
Benarlah apa yang difirmankan oleh Tuhan kita yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi
di dalam Al-Quran:-
Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul.
(Al-Isra`: 9)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan